LATAR BELAKANG

Koperasi Pengangkutan Awam Purtajaya Berhad (KPAPB) telah didaftarkan pada 28hb Mac 2005 di Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Selangor (SKM). Modal syer yang terkumpul setakat 31hb. Disember 2009 ialah RM136,000.00 dengan anggota seramai 504 orang.

Koperasi ini telah didaftarkan dengan fungsi "pengangkutan" di bawah Undang-undang Kecil para 7. Kawasan operasi koperasi ini ialah Putrajaya, Cyberjaya, Kajang, Bangi, Puchong, Serdang, Balakong, Petaling, Kuala Langat dan Sepang.

Nama "Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Bhd." telah digunakan sebaik sahaja pindaan Undang-undang Kecil diluluskan Suruhanjaya Koperasi Malaysia pada Julai 2008.

SEJARAH PENUBUHAN

Bermula pada September 2003 di mana satu usaha telah dibuat oleh 7 orang pemandu teksi yang beroperasi di Putrajaya Sentral untuk menubuhkan Persatuan bagi menjaga kebajikan, hak dan membantu ahli-ahli meningkatkan pendapatan mereka. Satu Mesyuarat Penajaan Persatuan yang pada masa itu dinamakan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan Putrajaya telah diadakan di Blok 4A Presint 9 Putrajaya (Rumah En. Abd. Wahab, Pengerusi Penaja). Dalam mesyuarat berkenaan, seramai 14 orang telah dilantik sebagai Jawatankuasa Penaja Persatuan.

Persatuan ini telah diluluskan penubuhannya pada 27 Februari 2004 oleh Pendaftar Pertubuhan.

Semasa pertemuan dan perbincangan dengan Tuan Hj Musa bin Muhammad, Setiausaha LPKP (pada waktu itu) bagi memohon permit teksi dan kebenaran untuk melaksanakan perkhidmatan teksi berkupon, Persatuan telah dimaklumkan bahawa LPKP tidak mempunyai dasar untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana persatuan. Permit teksi dan kebenaran melaksanakan perkhidmatan teksi berkupon hanya diberikan kepada syarikat, individu atau koperasi.

Oleh itu, pada 16 Jun 2004, Mesyuarat Agung Pertama Persatuan Pemandu Teksi Putrajaya telah mengeluarkan satu resolusi untuk menubuhkan koperasi yang dinamakan Koperasi Pengangkutan Awam Putrajaya Berhad bagi faedah ekonomi ahli-ahli yang menyertainya.